Tuesday, August 11, 2009

Cikgu dakwa kerap diganggu guru besar

MELAKA: Seorang guru sebuah sekolah kebangsaan di Ayer Molek dekat sini, kini dalam dilema apabila terpaksa mengambil cuti sakit sehingga tiga minggu selepas mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual guru besar sekolahnya, sejak sebulan lalu.

Berikutan tidak selesa dan menghadapi tekanan kerana gangguan itu yang berterusan, guru yang hanya mahu dikenali sebagai Ros, 47, dari Taman Alai Perdana, Alai itu mendakwa kini tidak tenteram dan takut untuk berkhidmat di sekolah itu.

Kesan daripada itu, ibu kepada tiga anak itu disahkan mengalami tekanan darah tinggi dan sering menangis kerana tidak dapat melupakan perbuatan dilakukan guru besar itu.

Ros yang sudah berkhidmat sebagai guru selama 25 tahun berkata, beliau ditukarkan ke sekolah itu pada 1 Mac lalu selepas dinaikkan pangkat manakala guru besar itu pula memulakan perkhidmatannya di sekolah berkenaan tiga bulan kemudian.

Gangguan seksual itu dakwanya, dilakukan beberapa kali sepanjang beliau berada di sekolah berkenaan sejak awal Julai lalu.

"Antara pelakuan guru besar itu kepada saya adalah seperti cuba mendekatkan mukanya ke muka saya seolah-olah mahu bercium, berkata sesuatu mengenai diri saya sambil menunjukkan mimik muka yang ghairah, bercakap berbaur lucah dan menggoda.

"Sebelum ini saya tidak pernah menghidap tekanan darah tinggi tetapi selepas diganggu, keadaan berubah, malah kesihatan saya juga semakin teruk dan kini masih cuti sakit sejak 22 Julai lalu," dakwanya ketika ditemui bersama suaminya yang juga kakitangan Jabatan Pelajaran negeri, semalam.

Ros mendakwa, sudah melaporkan perbuatan itu kepada pihak atasan termasuk Pengarah Pelajaran negeri, namun keputusannya beliau diberi pilihan sama ada kekal di sekolah itu atau bertukar.

"Saya yang menjadi mangsa, saya pula diberi pilihan manakala guru besar itu terus kekal tanpa dikenakan tindakan," katanya.

Berikutan itu, Ros dan suaminya membuat laporan di Balai Polis Kandang, Ayer Molek, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.

"Siasatan kes ini dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan mengaibkan seseorang yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda," katanya.


No comments:

Post a Comment