Tuesday, August 11, 2009

Ibu bapa desak jangan tutup sekolah

MIRI 9 Ogos - Masalah kekurangan air kritikal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai, Niah Miri yang memaksa Jabatan Pelajaran negeri turun padang memantau keadaan itu sebenarnya bermula sejak ia dibuka pada 2004.

Sumber dalaman sekolah itu memberitahu, hampir setiap masa mereka menghadapi masalah kekurangan bekalan dan ia bertambah runcing semasa musim kemarau.

Beliau menambah, sekolah itu menempatkan 600 pelajar asrama dari tingkatan satu hingga enam dan 50 kakitangan yang tinggal di dalam sekolah.

"Setakat ini sekolah mendapat bekalan air yang dihantar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Niah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Rabu lalu, Pengarah Pelajaran negeri, Dr. Julaihi Bujang memberitahu, sekolah-sekolah berasrama yang berdepan masalah kekurangan bekalan air pada musim kemarau mungkin akan ditutup jika keadaan bertambah buruk.

Julaihi berkata, pihaknya sedang memantau keadaan di SMK Suai dan SMK Belawai (Mukah) di samping menghantar bekalan air ke sekolah yang terjejas.

Sementara itu, ibu bapa yang ditemui tidak berpuas hati terhadap cadangan menutup sekolah berikutan kekurangan air yang disebabkan musim kemarau.

Igai Kebing, 58, dari Iran, Suai memberitahu, ia bukan langkah yang bijak sebaliknya merugikan para pelajar.

"Sepatutnya kerajaan harus selesaikan masalah kekurangan air ini hingga ke peringkat akar umbi bagi menggelakkan ia berulang lagi pada masa hadapan.

"Menutup sekolah setiap kali musim kemarau sehingga menyebabkan bekalan air terputus adalah tidak logik dan lucu. Bayangkan jika kemarau berlarutan hingga tiga bulan, adakah sekolah akan ditutup dalam tempoh tersebut," katanya.

Kata Igai, cadangan menutup sekolah setiap kali masalah air berlaku tidak wajar kerana kerajaan harus mengambil iktibar daripada pengalaman lalu bagi memastikan bekalan air ke sekolah tidak terganggu terutama semasa musim kemarau panjang.

Seorang ibu, Suan Madan, 41 dari Rumah Panjang, Suai, Miri berkata, cadangan itu jika dilaksanakan hanya menyusahkan anak-anak mereka yang ketinggalan pelajaran.

"Sebagai ibu bapa, kami tidak mahu faktor kemarau ini akan menjejaskan pembelajaran mereka. Jangan disebabkan setiap kali musim kemarau melanda, anak-anak bersekolah menjadi mangsa," katanya.

Menurut Suan, masalah ketiadaan air yang menimpa sekolah itu bukan kali pertama sebaliknya sudah kerap berlaku sejak ia dibuka pada 2004.

"Selain masalah air, bekalan elektrik pun kerap terputus. Kita harap masalah ini diselesaikan memandangkan bangunan sekolah cukup cantik dan moden," katanya.

Memburukkan keadaan, para pelajar dan kakitangan sekolah terpaksa menjalani kuarantin berikutan penularan wabak influenza A (HINI) mulai 4 Ogos hingga 11 Ogos.


No comments:

Post a Comment