Wednesday, August 5, 2009

17 sekolah di Melaka tutup akibat H1N1

MELAKA 4 Ogos - Sebanyak 14 buah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di negeri ini telah diarah tutup akibat penularan wabak penyakit virus selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol berkata, setakat Ahad lalu, pihaknya mengenal pasti sebanyak 135 kes H1N1 berlaku di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 129 kes terdiri daripada kalangan penduduk tempatan dan enam kes melibatkan pelancong asing yang bercuti dan belajar di institusi pengajian tinggi di Melaka.

''Daripada 135 kes itu, 65 pesakit dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Melaka manakala 70 orang dikuarantin di rumah dan pusat pengajian tinggi terlibat," katanya ketika menjawab soalan Lai Meng Chong (BN-Machap) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Katanya, daripada keseluruhan kes itu, 119 orang daripadanya telah sembuh dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah tersebut, 12 kes dikenal pasti sebagai kes import manakala 123 kes jangkitan tempatan.

Katanya, 53 kes dikesan berlaku di daerah Melaka Tengah, 55 kes di Alor Gajah manakala Jasin mencatatkan 27 kes.

Menurutnya, bagi membendung wabak itu menular di kalangan masyarakat, pihaknya melalui Jabatan Kesihatan giat melaksanakan kempen menyebar maklumat menerusi risalah dan poster kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

''Selain itu, kita juga mengadakan ceramah, pameran dan dialog bersama penduduk bagi menerangkan kepada mereka tentang wabak H1N1 agar mereka lebih faham dan bersedia menghadapi penularan virus ini," katanya.

Kata Norpipah, beliau turut meminta masyarakat mengambil pendekatan bagi mengelak jangkitan virus tersebut antaranya mengehadkan pergerakan di kawasan sesak, menutup mulut dengan tuala sekiranya mengalami batuk dan mencuci tangan lebih kerap.

Beliau turut menjelaskan bahawa petugas kesihatan yang berurusan dengan pesakit H1N1 juga mengenakan alat perlindungan diri dan diberi suntikan vaksin bagi mengelakkan wabak itu tersebar kepada individu lain.

Jelasnya, tahap kesihatan petugas juga dipantau setiap hari dan mana-mana kakitangan yang mengidap simptom wabak itu akan dikeluarkan daripada tugasan tersebut.


No comments:

Post a Comment