Tuesday, August 4, 2009

RM24 juta untuk bina empat sekolah

MERSING 3 Ogos - Kerajaan memperuntukkan lebih RM24 juta bagi membina dan membaik pulih empat sekolah di beberapa pulau di daerah ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tinggi, SK Pulau Sibu, SK Pulau Aur dan SK Pulau Pemanggil.

Beliau berkata, sebanyak RM9.4 juta daripada peruntukan itu untuk membina bangunan baru tiga tingkat SK Pulau Tinggi yang dijangka siap tahun depan.

Bagi SK Pulau Sibu dan Pulau Aur, masing-masing diperuntukkan RM7.4 juta untuk bangunan sekolah baru yang sedang dalam pembinaan, manakala SK Pulau Pemanggil dinaik taraf atas permintaan masyarakat di sana.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat projek pembinaan bangunan SK Pulau Tinggi di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Mohd. Puad turut mengumumkan empat sekolah berkenaan sebagai sekolah angkat beliau dan meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor untuk merancang program sepanjang tahun di sekolah-sekolah berkenaan.

"Program anak angkat maksudnya selain daripada menyediakan program khusus seperti motivasi, guru-guru dipertingkatkan semangat, kemahiran dan kemudahan sekolah juga akan diberi perhatian.

"Kita bawa mereka keluar dari pulau ini untuk melawat ke tempat lain. Ini adalah antara yang boleh difikirkan," katanya.



No comments:

Post a Comment