Monday, August 3, 2009

Sentral: SJKT Sungai Salak tumpang kedai

Oleh Hussain Said
bhnews@bharian.com.my

Lembaga pengelola diminta cari lokasi sesuai boleh bangunan baru

PORT DICKSON: Masalah ketiadaan tapak untuk membina bangunan sendiri menjadi punca Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Salak, Lukut dekat sini, terpaksa beroperasi di bangunan kedai dua tingkat sejak dua tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri serta Jabatan Pelajaran negeri mencari tapak sesuai untuk membina bangunan sekolah berkenaan.

"Sebenarnya, Kementerian Pelajaran sudah menyediakan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan sekolah ini, tetapi ketiadaan tapak sesuai menyebabkan projek pembinaan terbengkalai walaupun pelan sudah disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Sehubungan itu, saya meminta wakil Lembaga Pengelola dan Pengurusan sekolah ke PTG bagi memohon tanah milik kerajaan negeri di kawasan sekitar untuk pembinaan sekolah berkenaan.

"Jika ada tanah kosong, saya akan menulis surat kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk memohon kelulusan segera dan berharap pembinaannya dapat dipercepatkan bagi membolehkan pelajar berpindah ke sekolah baru mulai 1 Januari 2010," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai jabatan dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan masalah sekolah yang ditubuhkan pada 1947 itu supaya dapat beroperasi di bangunan sendiri.

Menariknya, pertemuan dan perbincangan bagi menyelesaikan masalah sekolah itu diadakan secara terbuka di luar bangunan sekolah berkenaan sambil disaksikan orang ramai dan wartawan yang membuat liputan majlis itu.

Murugiah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan kali kedua dengan wakil Lembaga dan Pengurusan sekolah itu serta jabatan dan agensi kerajaan berkaitan jika tapak sesuai untuk membina bangunan sekolah itu tiada.

"Kita akan memikirkan alternatif termasuk membeli tapak atau mendapatkan sumbangan daripada pihak tertentu. Kita kena berfikiran positif untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Murugiah berkata, lawatannya ke sekolah itu mendapati keadaan bangunan kedai dua tingkat itu tidak sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran kerana panas dan sempit, selain ketiadaan padang untuk menjalankan aktiviti kokurikulum.





No comments:

Post a Comment