Saturday, August 8, 2009

Contohi penyumbang sekolah Cina - Rosmah


Rosmah Mansor menyaksikan penyampaian replika cek (dari kiri) Datuk Yew Teong Look, Toh Puan Ena Ling, Hwang Chia Sing, Liew Ah Ching dan Lim Bean Hean pada malam Amal Caring And Sharing SJKC Khai Chee, di Hotel Legend, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sikap bersedia menghulurkan sumbangan bagi pembangunan sekolah-sekolah masyarakat Cina wajar dicontohi masyarakat lain terutamanya ahli korporat, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, budaya dan sifat keprihatinan yang amat menyerlah di kalangan masyarakat Malaysia perlu menjadi amalan berterusan serta berpaksikan konsep 1Malaysia.

Ini kerana, jelasnya, banyak lagi sekolah yang memerlukan sokongan padu dari semua pihak seperti yang diterima oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee.

"Sehubungan itu, budaya masyarakat prihatin dan penyayang hendaklah dipupuk dalam diri anak-anak kita sejak kecil lagi.

"Anak-anak harus dididik agar peka dan ditanam sifat ingin membantu sesama insan apatah lagi kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Amal Caring and Sharing SJKC Khai Chee di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurus SJKC Khai Chee, Lim Beng Hean.

Pada majlis itu, sebanyak RM2.1 juta dikutip untuk meluaskan tapak sekolah dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di samping membeli sebidang tanah bersebelahan sekolah berkenaan.


No comments:

Post a Comment