Saturday, August 8, 2009

Sekolah guna air hujan dipantau

Oleh Micheal Sering
bhnews@bharian.com.my

KUCHING: Kerajaan negeri akan memantau rapi semua sekolah di kawasan pedalaman negeri ini yang bergantung kepada air hujan sebagai sumber bekalan air bersih, berikutan musim panas kering yang berlarutan sejak lebih sebulan yang lalu.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah, berkata ini bertujuan memastikan sekolah terbabit tidak terputus terus bekalan air.

Katanya, kebanyakan sekolah yang bergantung kepada air hujan terletak di kawasan hulu sungai dan pedalaman negeri ini.


"Saya tak dapat berikan jumlah sebenar sekolah yang masih bergantung kepada sumber air hujan ini. Namun saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan memantau rapi sekolah terbabit," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan sesi randau bertajuk 'Meningkatkan Kaliber Graduan Hari Ini' yang dianjurkan Angkatan Zaman Mansang ( Azam) dengan Kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung, di Pusat Penerangan Islam di sini, semalam.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Dalat mengakui masih banyak sekolah di pedalaman Sarawak bergantung penuh kepada sistem tadahan air hujan.


Kebiasaannya kata beliau, sekolah terbabit akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih apabila musim panas kering berpanjangan termasuk sekolah di kawasan yang diwakilinya dalam Bahagian Mukah.

Katanya, kerajaan negeri akan meminta agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya segera menghantar bekalan air bersih termasuk dalam bentuk air mineral kepada sekolah terbabit.

"Kita juga menggunakan bot penduduk tempatan untuk menghantar bekalan air ke kawasan sekolah di hulu sungai. Itupun kalau sungai masih boleh dilalui oleh bot, kalau tidak kita terpaksa menggunakan jalan balak," katanya.

Beliau berkata, jika tiada akses untuk menghantar bekalan air ke sekolah terbabit akibat air sungai terlalu cetek dengan tiada alternatif lain, maka sekolah berkenaan akan dipertimbangkan untuk ditutup sementara.

Fatimah meminta semua guru besar atau pengetua sekolah supaya segera melaporkan kepada kerajaan melalui agensi berkaitan, sekiranya berhadapan masalah kekurangan bekalan air.

"Air adalah keperluan asas dengan kekurangan bekalan air boleh dikategorikan sebagai kecemasan," katanya.


No comments:

Post a Comment