Friday, August 7, 2009

Calon peperiksaan dikumpul

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kementerian Pelajaran mungkin menempatkan calon-calon peperiksaan dari beberapa buah sekolah dalam satu sekolah yang sama jika ramai pelajar yang dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah itu merupakan salah satu daripada tiga langkah yang mungkin diambil oleh kementerian sekiranya wabak tersebut terus menular di kalangan pelajar.

Menurutnya, langkah itu perlu dilaksanakan ekoran ketetapan yang dikeluarkan kerajaan untuk tidak menangguhkan semua peperiksaan kebangsaan.

''Dua lagi langkah yang akan diambil ialah, peperiksaan mungkin dijadualkan di hospital jika bilangan pelajar yang dijangkiti tidak begitu serius.

''Bagaimanapun jika jumlah pesakit begitu tinggi di sekolah yang berkenaan, kita akan bagi cuti pada sekolah tersebut dan hanya membenarkan calon-calon yang hadir untuk menduduki peperiksaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada kontinjen bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke Kejohanan Bola Sepak bawah 15 tahun Sekolah-sekolah Asia keempat di sini hari ini.

Alimuddin berkata, lima peperiksaan kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetap dijalankan mengikut jadual yang dirancang.

Menjelang peperiksaan itu nanti katanya, para petugas termasuk guru yang menyelia peperiksaan akan diberi topeng muka dan termometer bagi mengelak penularan.

"Tiada suntikan vaksin diberikan kepada petugas mahupun guru terbabit namun kita berharap mereka akan sentiasa sihat," katanya.

Jelasnya, sebanyak RM2.6 juta telah diperuntukkan untuk membeli topeng muka dan termometer bagi diedarkan ke seluruh sekolah sebagai langkah pencegahan.

"Malah setiap pagi sebelum sesi persekolahan bermula, guru besar di setiap sekolah akan mengadakan pemeriksaan mengejut bagi mengetahui tahap kesihatan pelajar," jelasnya.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember.


No comments:

Post a Comment