Friday, August 7, 2009

Sukan kurikulum wajib?


MUHYIDDIN Yassin bersama-sama Bob Cronin (kiri) dan Dr. Eric Tan (kanan) semasa tiba di Newspaper House untuk menghadiri majlis pelancaran program pertukaran wartawan antara akhbar The New Straits Times (NST) dan The West Australian, di Perth, semalam.


PERTH 6 Ogos – Kerajaan sedang menimbang kemungkinan menerapkan elemen sukan dan pendidikan jasmani sebagai satu kurikulum wajib dalam sistem persekolahan di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tertarik dengan keupayaan Sekolah Menengah Tinggi Mount Lawley di sini menguruskan keseimbangan akademik dan aktiviti sukan di kalangan pelajarnya, turut mengkaji untuk mempraktikkan perkongsian kemudahan sukan di antara sekolah-sekolah dan universiti tempatan.

Di Malaysia ketika ini sukan merupakan aktiviti ko-kurikulum yang tidak diwajibkan ke atas pelajar.

‘‘Dalam sistem persekolahan di Mount Lawley Senior High School ini, kemudahan sukan termasuk gimnasium dikongsi bersama dengan Edith Cowan University berdekatan manakala jadual sukan dimasukkan dalam kurikulum pelajar.

‘‘Pelajar datang ke sekolah mengikuti pembelajaran dan diperuntukkan satu hingga empat jam untuk pendidikan jasmani dan selepas persekolahan pada sebelah petang dan malam boleh mengadakan latihan sukan di sekolah. Malah, subjek yang diambil hanya sekadar enam sahaja termasuk pendidikan jasmani,” katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan lawatan dua jam ke sekolah berkenaan yang merupakan antara sebilangan sekolah yang berjaya melahirkan atlet-atlet sukan berwibawa di Australia.

Muhyiddin yang dalam lawatan kerja selama lima hari ke Australia memberitahu, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharudin yang turut serta, untuk membuat kajian mendalam tentang kemudahan sukan dan sistem pendidikan di sekolah berkenaan untuk diterapkan dalam persekolahan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau turut tertarik dengan penglibatan aktif ibu bapa dalam membantu pentadbiran Sekolah Menengah Tinggi Mount Lawley meningkatkan prestasi pelajar.

‘‘Mereka berminat dan anda boleh lihat di bahagian pentadbiran sekolah kelibat ibu bapa pelajar,” katanya.

Katanya, hasrat untuk menerapkan sukan sebagai kurikulum wajib di sekolah-sekolah di Malaysia lebih kepada usaha mendidik pelajar dari peringkat seawal usia mengenai keperluan penjagaan kesihatan khususnya kecergasan.

‘‘Pada masa sama individu berkenaan juga berpeluang menceburi bidang kejurulatihan atau perniagaan. Saya yakin jika kajian yang dibuat nanti bersesuaian, amalan sistem persekolahan di sini kemungkinan besar boleh diterapkan di sekolah-sekolah kita,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin yang mengunjungi Ibu Pejabat akhbar West Australian dekat sini berkata, akhbar The New Straits Times dan The West Australian bersetuju mengadakan program pertukaran wartawan.

Turut bersama mengunjungi ibu pejabat akhbar itu ialah Ketua Pengarang Kumpulan The West Australian, Bob Cronin dan Canselor Emeritus Curtin University Dr. Eric Tan.

Beliau yang menyaksikan pemeteraian persetujuan itu yakin program seumpama itu dapat meningkatkan pemahaman antara kedua-dua negara dan merapatkan lagi hubungan di antara rakyat.

– Utusan


No comments:

Post a Comment