Monday, August 3, 2009

'Murid mampu kuasai bahasa Inggeris sejak prasekolah'

HASRAT kerajaan mahu melihat murid menguasai bahasa Inggeris sejak di bangku prasekolah lagi mampu direalisasikan, kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob.

Katanya, ini kerana kanak-kanak seawal umur empat tahun mempunyai kelebihan dalam menguasai sesuatu perkara dengan cepat kerana minda mereka bersifat terbuka, selain gemar meneroka.

Beliau berkata, kemahiran bahasa Inggeris mampu diterapkan dengan mudah dalam pemikiran kanak-kanak jika ia disokong persekitaran ceria serta proses pengajaran dan pembelajaran yang kreatif.

“Dalam hal ini, guru prasekolah yang benar-benar berkelayakan dan mampu menguasai pelbagai kemahiran diperlukan bagi mengaplikasikan pengetahuan secara lebih berkesan.

“Kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun memerlukan lebih tumpuan dan bimbingan. Oleh itu, pendekatan pengajaran perlu dipelbagaikan bagi menarik perhatian mereka.

“Dalam hubungan ini, universiti perlu memainkan peranan melahirkan graduan berkelayakan bagi memenuhi keperluan sumber tenaga pendidikan awal kanak-kanak pada masa depan,” katanya.

Aminah berkata, prasekolah adalah proses pendidikan awal dilalui kanak-kanak bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran asas sebelum mereka memasuki persekolahan formal.

Di sesetengah negara Barat, katanya, sistem pendidikan mereka menetapkan prasekolah sebagai pendidikan wajib yang perlu diikuti kanak-kanak seawal umur empat tahun.

“Berbeza di Malaysia, kita mungkin mengalami kesukaran menjadikan prasekolah sebagai pendidikan wajib berikutan wujudnya pelbagai kekangan khususnya jika membabitkan masyarakat luar bandar.

“Justeru, langkah penambahbaikan perlu diambil dengan menjadikan prasekolah sebagai pendidikan formal yang lebih komprehensif dari segi guru, kurikulum dan pelaksanaan,” katanya.

Aminah menegaskan, keseragaman pendidikan prasekolah perlu memandangkan kini ia dilaksanakan dua kementerian berbeza, selain dijalankan pihak swasta.


No comments:

Post a Comment