Friday, August 7, 2009

Sekolah diarah ambil suhu badan murid setiap pagi

KUALA LUMPUR: Sekolah diarah mengambil suhu badan murid setiap pagi dan mengasingkan serta membawa mereka ke klinik jika didapati demam dengan suhu badan melebihi 38 darjah celsius.

Pada masa sama, sekolah diminta peka dan mengambil tindakan sewajarnya jika ada murid mengalami sebarang simptom jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) seperti batuk dan selesema.

Untuk tujuan itu, sekolah di seluruh negara sudah dibekalkan dengan termometer dan topeng muka membabitkan perbelanjaan RM2.5 juta.

Bercakap kepada Berita Harian, semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pandemik H1N1 yang dipengerusikan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu.


"Pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan kebersihan kawasan sekolah, termasuk tandas, bilik darjah, kantin dan asrama, selain terus menggesa pelajar untuk mengelak berada di kawasan tumpuan ramai," katanya.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, kementerian belum mewajibkan penggunaan topeng muka kepada pelajar sekolah kerana penggunaannya sedikit sebanyak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selain itu, beliau meminta ibu bapa tidak panik dengan keputusan kerajaan tidak menangguhkan lima peperiksaan utama di negara ini kerana kerajaan akan melaksanakan tindakan yang perlu sepanjang tempoh peperiksaan berkenaan.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan supaya tidak menutup sekolah yang dijangkiti H1N1 kerana bimbang ia akan menjejaskan sesi persekolahan pelajar terutamanya menjelang peperiksaan utama sebaliknya mahu langkah pencegahan di sekolah dipertingkatkan, selain mengkuarantin pelajar yang dijangkiti H1N1.

Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) pula meminta ibu bapa memantau anak-anak yang terjejas sesi persekolahan mereka ekoran H1N1, supaya tidak mengabaikan pelajaran walaupun di rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada pusat pengajian tinggi menggunakan kuasa autonomi melaksanakan tindakan mencegah penularan H1N1 di institusi masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan arahan membatalkan program membabitkan pelajar, termasuk aktiviti menjelang sambutan Hari Kemerdekaan akhir bulan ini.

"Jika pelajar sudah membuat perancangan awal dengan pelbagai aktiviti berkaitan hari berkenaan dan keadaan setempat selamat tanpa sebarang gangguan, tidak ada alasan program berkenaan terpaksa dibatalkan," katanya selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Pengambilalihan Teknologi oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) kepada Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.



No comments:

Post a Comment