Wednesday, August 5, 2009

Johor: 66 murid 4 sekolah Pulau Tinggi jaya karnival sukan

Oleh Ahmad Othman
bhnews@bharian.com.my


PELAJAR mengambil bahagian dalam Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Negeri Johor kali ke-4 di Pulau Tinggi, Mersing, baru-baru ini.

Elemen komuniti dan keilmuan rapatkan jurang pendidikan

MERSING: Sukar untuk percaya tetapi tidak mustahil boleh berlaku apabila empat sekolah yang dibina di beberapa pulau di daerah ini, yang hanya mempunyai 66 murid berjaya menganjurkan karnival sukan gabungan di Pulau Tinggi, dekat sini, baru-baru ini.

Bukan itu saja, jarak antara empat sekolah itu dengan tanah besar yang mengambil masa antara satu hingga empat jam merentasi Laut China Selatan yang dalamnya lebih 27 meter tidak menjadi halangan kepada usaha mengembalikan kecemerlangan sukan.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil yang hanya mempunyai lima murid, SK Pulau Aur seramai 14 murid, SK Pulau Sibu (26 murid) dan SK Pulau Tinggi (20 murid) yang juga selaku tuan rumah Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Negeri Johor (KSSPNJ) Ke-4.

Inisiatif Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melalui unit sukannya menjayakan KSSPNJ itu mendorong Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menjadikan keempat-empat sekolah di gugusan kepulauan Mersing berkenaan sebagai sekolah angkat.

Empat SK itu diumumkan dijadikan sekolah anak angkat oleh Dr Mohd Puad yang menyempurnakan majlis penutupan rasmi KSSPNJ selama tiga hari berakhir 30 Julai lalu.

DR FUAD tiba di Pulau Tinggi sempena Karnival Sukan Sekolah-Seklah Pulau Negeri Johor.

Dr Fuad berkata, KSSPNJ adalah bersempena pengisian Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) itu menggunakan pendekatan konsep hibur didik yang bermatlamat membangunkan potensi pelajar sekolah pulau dengan pembangunan fizikal, minda dan berdaya saing.

Beliau berkata, KSSPNJ akan diperluaskan kepada Karnival Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pantai Timur (KSSSPPT) yang akan disertai sekolah di pulau yang terdapat di negeri Pantai Timur.

Katanya, pihaknya menetapkan Pulau Sibu sebagai tuan rumah bagi KSSSPPT itu pada 2010 dan perancangan seterusnya akan diperluaskan hingga ke peringkat kebangsaan.

"Melalui ruang dan peluang yang dianjurkan KPM bagi merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dan taraf sosio-ekonomi, diharapkan semua pelajar di semua pulau terbabit dapat menyertai lawatan sambil belajar, beriadah dan menimba pengalaman dengan menerapkan elemen komuniti dan keilmuan," katanya.

Pada majlis itu, Dr Puad turut menyampaikan sumbangan peralatan sukan kepada guru besar sekolah-sekolah pulau dan hadiah pemenang bagi bakat bintang kecil, sukan, permainan dan pertandingan mewarna.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin; Timbalannya, Markom Giran; Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kemanusiaan, Aziz Redwan; Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Hasidin Zaini, ketua-ketua kampung pulau dan warga pendidikan.

Dr Mohd Puad dan pegawai JPNJ juga memantau kerja membina bangunan sekolah baru tiga tingkat SK Pulau Tinggi yang membabitkan perbelanjaan RM9.4 juta yang dijangka siap hujung tahun depan untuk menggantikan sekolah lama.

Difahamkan, SK Pulau Sibu dan Pulau Aur masing-masing diperuntukkan sebanyak RM7.4 juta untuk bangunan sekolah baru yang sedang rancak dalam pembinaan manakala SK Pulau Pemanggil dinaik taraf atas permintaan masyarakat di sana.

Pengisian karnival itu mencakupi modul mengenal pasti bakat atlit, rekreasi, permainan bola sepak dan bola jaring, modul khidmat kemasyarakatan dan perkongsian ilmu melalui majlis ramah mesra kepemimpinan KPM, JPNJ, guru dan staf sekolah pulau bersama masyarakat di pulau yang menjayakan program motivasi pelajar dan cintai alam kita.

Modul kesenian dan kebudayaan pula diterjemahkan melalui penyertaan murid menggayakan pakaian tradisional, pertandingan nyanyian, tarian dan melukis.

Sementara itu, Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rahaman Ali, berkata banyak kemudahan disediakan kerajaan di pulau yang didiami 24 keluarga itu termasuk bekalan elektrik menggunakan kuasa solar hibrid dan bekalan air bersih menggunakan kaedah telaga tiub serta air bersih semula jadi yang mengalir dari puncak bukit pulau itu.

"Masyarakat di sini berterima kasih atas lawatan kerja Dr Puad yang turut menyalurkan peruntukan untuk baik pulih rumah guru, pembinaan gelanggang serba guna dan menganjurkan sukan gabungan," katanya yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Tinggi.


No comments:

Post a Comment