Sunday, August 2, 2009

Kanak-kanak 10 tahun mangsa terbaru H1N1

IPOH 31 Julai - Seorang murid tahun empat sebuah sekolah kebangsaan di Kerian mungkin merupakan mangsa terbaru virus selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini apabila kematiannya dikaitkan dengan simptom-simptom penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, murid tersebut meninggal dunia pada pukul 5 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai.

''Murid ini mengalami simptom-simptom yang sama iaitu batuk, demam dan sesak nafas. Tetapi kita belum dapat memastikan punca kematiannya.

''Sama ada dia dijangkiti H1N1 atau sebaliknya dijangka akan disahkan esok,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Hang Soon berkata, lima lagi institusi pendidikan termasuk tiga buah sekolah di Perak ditutup hari ini ekoran penularan wabak H1N1.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Simpang Lima, SJK Tamil St. Mary dan Sekolah Kebangsaan (SK) Wawasan, Pekan Baru, Kerian.

Turut ditutup ialah Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tegas Mesra, Selama dan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh.

''Semua institusi pendidikan ini ditutup selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan penularan wabak tersebut,'' katanya.

Hang Soon berkata, bermula 16 Julai lalu sehingga pukul 8 pagi tadi, sebanyak 45 kes disahkan positif H1N1. Manakala 39 kes membabitkan penyakit serupa influenza (ILI) telah dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan negeri.

Katanya, masyarakat perlu diberitahu mengenai keadaan sebenar wabak H1N1 dan meminta mereka supaya segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya mengalami tanda-tanda penyakit berkenaan.

''Saya minta orang ramai jangan berdiam diri jika mengetahui mengenai penularan wabak H1N1. Laporkan segera kepada Jabatan Kesihatan negeri dan kita akan memberikan rawatan segera,'' katanya.

Semalam, sebanyak sembilan buah institusi pendidikan ditutup di negeri ini disebabkan H1N1.


No comments:

Post a Comment