Thursday, August 6, 2009

DBKL terus bantu pelajar kota cemerlang peperiksaan

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus menjadikan program pendidikan Berita Harian sebagai satu daripada pengisian Program Pembangunan Sosialnya dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar kota.

Tahun ini, sejumlah 14 siri seminar peperiksaan merangkumi enam peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan masing-masing empat Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia akan dilaksanakan.

Setakat ini, tiga siri Klinik UPSR diadakan membabitkan penyertaan kira-kira 700 calon peperiksaan itu.

Penolong Pengarah (1) Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial DBKL, Khairiyatul Hayati Abd Karim, berkata penganjurannya meningkatkan pencapaian pelajar kota itu, khususnya dalam peperiksaan.

Beliau berkata, bimbingan menerusi seminar dua hari itu juga bertujuan membantu calon peperiksaan terbabit memperbaiki kelemahan, sekali gus mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak terutama guru sekolah di bawah pentadbiran DBKL mengenal pasti murid berpotensi bagi mengikuti program berkenaan.

“Menerusi seminar ini, calon dapat meningkatkan pemahaman, selain mengetahui tip serta teknik menjawab soalan dengan berkesan,” katanya ditemui ketika memantau pelaksanaan Klinik UPSR, baru-baru ini.

Khairiyatul berkata, program pendidikan tambahan itu diadakan menjelang tarikh peperiksaan bagi membolehkan peserta memberi tumpuan penuh terhadap cabaran yang akan mereka hadapi.

Beliau menjelaskan, penganjurannya secara tidak langsung memberi peluang pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,500 turut mendapat bimbingan pendidikan berkualiti.

No comments:

Post a Comment