Monday, August 3, 2009

Pelajar belum wajib pakai topeng mulut, hidung

PARIT BUNTAR: Kementerian Pelajaran belum berhasrat mewajibkan semua pelajar memakai topeng mulut dan hidung walaupun semakin banyak sekolah terpaksa ditutup akibat penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata arahan untuk pelajar berbuat demikian hanya akan dilakukan jika Kementerian Kesihatan menasihat atau mengarahkan ia dilakukan bagi mengekang jangkitan virus berkenaan.

"Apa yang penting ketika ini ialah semua pihak perlu ikut nasihat khususnya dalam menjaga kebersihan tangan dan ibu bapa serta guru perlu sentiasa mengawasi keadaan anak, murid serta segera membawa mereka mendapatkan rawatan jika menunjukkan sebarang simptom," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan RM40,000 kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Wai Sin, Batu Lima, Jalan Baru, dekat sini, semalam.

Di GEORGETOWN: Enam daripada 25 institusi pendidikan di negeri ini yang ditutup kerana penularan wabak H1N1 dibuka semula untuk sesi pembelajaran, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata pihak berkuasa kesihatan sudah memantau keadaan berkenaan dan kini terkawal.

Di MUAR: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai, berkata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kenanga yang menjadi korban terbaru H1N1 pagi semalam, adalah kes kematian pertama di Johor.

"Sebelum ini, mangsa juga adalah penghidap asma yang kronik, selain pernah dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, disebabkan mengalami pneumonia," katanya pada sidang akhbar di Dewan Jubli Intan di sini, semalam.

Sementara itu, usaha Berita Harian untuk menemuramah keluarga mangsa di Johor Bahru, gagal selepas bapanya enggan memberikan sebarang komen mengenai kejadian yang menimpa anaknya.

"Minta maaf, sila keluar... tolong hormati keluarga kami," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Maulizan Bujang, yang dihubungi berkata, masih belum ada sebarang arahan untuk menutup SK Seri Kenanga.

Di IPOH: Lima beradik kepada mangsa kelima yang meninggal dunia akibat jangkitan H1N1 kini dikuarantin selama seminggu di bilik isolasi Hospital Taiping, mulai semalam dan berada dalam keadaan stabil.

Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata kanak-kanak perempuan Melayu itu tidak mempunyai sejarah ke luar negara dan meninggal dunia disebabkan kes jangkitan tempatan.

Sementara itu, Dr Mah berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Shamsul Maarif Al-Wataniah, Tanjung Piandang, ditutup semalam selama seminggu.

Di MELAKA: Sembilan kes positif H1N1 dikesan di negeri ini sehingga pagi semalam.


No comments:

Post a Comment