Monday, August 3, 2009

Murid nak makan durian maut kena rempuh kereta

KUANTAN: Niat seorang murid Tahun Empat menikmati durian yang diambil dari kebun bapanya tidak kesampaian, apabila maut dirempuh kereta ketika menunggang basikal bagi membawa pulang buah itu ke rumah, di Kilometer 84, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.10 petang, Mohamad Aminudin Nawang, 10, murid Sekolah Kebangsaan Teluk Gunung, dekat Kuala Lipis, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata mangsa disahkan meninggal dunia di hospital itu akibat cedera di kepala, kira-kira jam 8.12 malam, kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa menunggang basikal mengekori abangnya, Mohd Nor Azwan, 13, yang menunggang motosikal sambil membawa durian untuk pulang ke rumah kira-kira dua kilometer dari kebun.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta terbabit berusia 32 tahun dari Kampung Bukit Jong, Pulau Condong, Kelantan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan menghala ke Merapoh dari Kampung Berhamah, dekat Kuala Lipis.

"Pemandu terbabit mendakwa tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebelum melanggar mangsa dari belakang dan berikutan itu mangsa dikejarkan ke HGM untuk menerima rawatan lanjut, " katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, polis sudah mengambil keterangan pemandu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jenazah mangsa sudah dituntut keluarganya sebaik bedah siasat selesai dijalankan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang juruselam bebas maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 43.7, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Bukit Tinggi, dekat Bentong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, Jeffrey Jude Lee Beng Chen, 35, dari Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersarapan bersama 20 rakannya di Karak sebelum maut di tempat kejadian akibat patah leher.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata ketika kejadian, mangsa menunggang seorang diri, manakala sekumpulan rakannya mengekori dari belakang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar penghadang besi jalan dan tercampak ke tepi jalan, " katanya.


No comments:

Post a Comment