Saturday, August 8, 2009

Program motivasi perlu diperluas ke pedalaman


ZULKHAIRI Ismail (kiri) berinteraksi dengan pelajar yang menyertai Program Motivasi Kecemerlangan Akademik di Sekolah Kebangsaan Kimanis, Papar, Sabah, semalam.


PAPAR 7 Ogos - Program Motivasi Kecemerlangan Akademik perlu diperluas ke pedalaman daerah ini bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik murid-murid yang kebanyakannya masih miskin.

Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Durahman Ramlee Awang Wahab berkata, program itu amat berkesan dalam merangsang minat belajar sekali gus mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan.

"Kita perlukan motivasi dan tidak boleh hanya menyuruh murid-murid belajar tanpa memberi semangat, ini bagi mengelakkan mereka
merasa bosan atau hilang minat dalam pelajaran.

"Program motivasi seumpama ini sangat penting untuk murid-murid mengasah minat mereka dalam pelajaran. Kita berharap, pihak swasta lain dapat mencontohi usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program tersebut yang dianjurkan oleh Yayasan Sabah (YS) Zon Pedalaman Selatan di Sekolah Kebangsaan Kimanis, di sini hari ini.

Lebih 70 murid yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah berkenaan menyertai program selama sehari itu.

Durahman berkata, diharap lebih banyak pihak swasta akan menjalankan tanggungjawab sosial seperti itu kerana masih banyak sekolah di sini yang memerlukan motivasi.

Katanya, ini bukan bermakna pihak sekolah tidak perlu berbuat apa-apa tetapi apa yang diperlu ialah sokongan luar dalam menyumbang untuk memajukan bidang pendidikan di Papar.

Sementara itu, Ketua Pentadbir YS Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Ismail mengingatkan ibu bapa di sini supaya sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan pihak sekolah.

"Kita tidak mahu tanggungjawab mendidik hanya dibebankan kepada pihak sekolah, sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama," katanya.


No comments:

Post a Comment