Thursday, August 6, 2009

Usaha penting capai keputusan cemerlang

6th August, 2009

MEMBAKUT: Golongan pelajar diingatkan tentang pentingnya usaha bagi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pelajar yang mempunyai kesungguhan dan sentiasa berusaha gigih berupaya mencapai kejayaan serta kecemerlangan.

“Jika ingin berjaya perlulah ada kesungguhan dan sentiasa berusaha,” katanya pada majlis perasmian penutupan Klinik UPSR Zon Membakut di Sekolah Kebangsaan Saga-Saga dekat sini, kelmarin.

Klinik selama dua hari itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Saga-Saga bersama Kumpulan Yayasan Sabah Pendalaman Selatan.

Mohd Arifin mentafsirkan makna U dalam UPSR sebagai usaha di mana setiap pelajar perlu berusaha untuk mencapai kejayaan.

P pula membawa maksud perhatian di mana setiap pelajar yang mahu mencapai kejayaan dan kecemerlangan perlu memberi perhatian terhadap pelajaran masing-masing.

Sementara S membawa maksud sihat yang merujuk pelajar agar sentiasa memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik bagi memastikan mereka dapat membuat persediaan dengan lebih baik.

R pula, katanya bermaksud rakan di mana pelajar perlu memilih dan memiliki rakan yang baik dan mempunyai kesungguhan untuk berjaya dalam pelajaran.

“Pilihan rakan yang membawa kebaikan kepada kita dan tolaklah mereka yang bersikap sebaliknya,” katanya lagi.

Bagi memberi dorongan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, Mohd Arifin turut mengumumkan hadiah yang bakal diterima oleh pelajar yang mencatatkan keputusan terbaik.

Pelajar yang berjaya mendapat 5 A akan menerima RM200 manakala pelajar yang memperolehi 4 A pula akan menerima RM100.

Sebelum ini hadiah yang sama juga diberikan kepada pelajar yang mengambil peperiksaan Sekolah Rendah Ugama (sekolah agama Majlis Ugama Islam Sabah) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Bagi hadiah itu, pelajar yang mendapat markah 80 ke atas mendapat RM100 dan hadiah tersebut telahpun diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.

Selain menyediakan hadiah, Mohd Arifin juga mengumumkan bahawa beliau akan menampung separuh perbelanjaan bagi memastikan klinik seumpama itu dapat dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

“Kita akan membantu menyediakan peruntukan kerana klinik seumpama ini amat bermanfaat kepada golongan pelajar,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment