Friday, August 7, 2009

304 sekolah dibekal jangka suhu, penutup mulut


MELAKA 6 Ogos - Bimbang dengan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1), sebanyak 304 buah sekolah di negeri ini dibekalkan dengan jangka suhu sebagai langkah menangani wabak tersebut.

Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, setiap sekolah dibekalkan dengan satu unit jangka suhu untuk mengukur suhu badan pelajar yang mengalami demam ketika berada di sekolah.

Katanya, sebanyak RM72,000 telah diperuntukkan untuk pembelian jangka suhu berkenaan.

''Selain jangka suhu, sekolah-sekolah juga akan dibekalkan dengan topeng muka tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas wabak selsesema babi kepada 250 pengetua dan penolong kanan sekolah menengah dan rendah daerah Melaka Tengah dan Jasin di Jabatan Pelajaran negeri, Bukit Baru di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman.

Isa menambah, peruntukan tambahan akan diterima pihaknya bagi memastikan kedua-dua bekalan peralatan berkenaan mencukupi.

''Kita juga berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat menghulurkan sumbangan bagi menangani wabak selesema babi di negeri ini secara bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Isa berkata, sebanyak 45 buah sekolah meliputi 22 sekolah rendah dan 23 sekolah menengah telah ditutup akibat wabak berkenaan.

''Bagaimanapun, enam buah sekolah telah dibuka semula iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Melaka Tengah, SMK Teknik Bukit Piatu, SMK Munsyi Abdullah dan SMK Teknik Jasin.

''Turut dibuka ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar dan SMK Bukit Katil,'' katanya.

Tambahnya, sekolah-sekolah yang telah dibuka semula ini perlu mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mengelak wabak itu menyerang semula sekolah yang terlibat.


No comments:

Post a Comment