Monday, August 3, 2009

Guru 'tahan lasak' perlu diutama ke jawatan

KENYATAAN Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi bahawa elemen 'tahan lasak' dan sanggup bertugas di kawasan pedalaman, adalah kriteria utama bagi pengambilan bakal guru perlu dipandang serius.

Langkah mengetatkan syarat pengambilan bakal guru itu bertujuan memastikan negara melahirkan guru berkualiti yang dapat menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat yang cemerlang, merealisasikan Wawasan 2020 serta menjayakan sistem pendidikan negara.

Guru bukan saja memikul beban dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dan sepadu dari segi rohani, jasmani dan intelek, malah guru menyumbang sebahagian besar tenaga pekerja di bidang pendidikan.

Menurut Dr Mohd Fuad lagi, guru yang 'tahan lasak' bererti mereka boleh ditempatkan di sekolah kawasan pedalaman tanpa kemudahan asas seperti pengangkutan yang sempurna, terpaksa meredah hutan, atau terpaksa menggunakan bot mahupun sampan untuk sampai ke sekolah.

Umum mengetahui cabaran mengajar di pedalaman lebih besar yang memerlukan ketahanan fizikal atau psikologi. Jiwa mereka mesti kental dalam usaha mendidik anak bangsa dan pengorbanan mereka perlu dihargai.

Budaya memainkan peranan penting dalam kehidupan dan kesejahteraan individu. Justeru, guru berkualiti bukan saja mempunyai ketahanan diri untuk berdepan pelbagai kesukaran, malah mampu memahami budaya hidup masyarakat terbabit terutama di kawasan penempatan Orang Asli.

Guru, tanpa mengira di mana mereka ditempatkan mengajar perlu mempunyai elemen 'tahan lasak'. Guru kini terpaksa berdepan perubahan dalam bidang pendidikan. Perubahan dalam dunia pendidikan yang sentiasa dinamik jika tidak dapat ditangani dengan baik boleh memberi kesan kepada kesejahteraan hidup guru.

DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM).

No comments:

Post a Comment