Saturday, August 8, 2009

SMK Belawai tiada air seminggu ditutup

KUCHING: Sebuah sekolah berasrama di kawasan tengah negeri ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai terpaksa ditutup sejak Isnin lalu berikutan musim kemarau yang mengakibatkan sekolah terbabit terputus terus bekalan air.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Julaihi Bujang, berkata sekolah berkenaan terputus bekalan air sejak 31 Julai lalu dengan penghantaran bekalan air pertama yang dibuat kelmarin (Rabu) hanya mencukupi untuk keperluan sebuah kuarters guru.

Katanya, pada 1 Ogos lalu, semua pelajar asrama sekolah berkenaan telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing dan mulai Isnin lalu sekolah itu ditutup sementara.

"Setakat ini kita mengarahkan sekolah itu ditutup selama seminggu sementara menunggu bekalan air dihantar oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya kepada Berita Harian.

Dr Julaihi berkata, bagi SMK Suai di Miri yang turut terputus bekalan air sejak awal minggu ini, JKR sudahpun menghantar bekalan air dan dengan itu juga keputusan untuk menutup sementara sekolah berkenaan dibatalkan.

Beliau berkata, beberapa sekolah berasrama yang terletak dalam kawasan dilanda kemarau di negeri ini juga kini berhadapan berkemungkinan terpaksa ditutup jika bekalan air bersih tidak dibekalkan dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, musim kering akibat fenomena El-Nino dan ditambah lagi dengan jangkitan selsema babi kini memburukkan lagi keadaan khasnya yang membabitkan sekolah berasrama.

Beliau berkata, jabatan itu akan mendapatkan bantuan segera daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam Negeri bagi mengelak daripada tindakan menutup sekolah kerana ia boleh menjejaskan jadual pembelajaran.

Kesan fenomena El-Nino mula dirasai di negeri ini apabila dianggarkan kira-kira 18,000 penduduk khasnya di kawasan pesisir pantai Sarawak terjejas dan berdepan dengan masalah kemarau sejak kira-kira sebulan yang lalu.

Lapan bahagian di Sarawak yang terjejas teruk akibat kemarau setakat ini adalah Kuching, Samarahan, Batong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

No comments:

Post a Comment