Sunday, August 2, 2009

Ibu bapa jangan ambil ringan simptom H1N1

SEREMBAN 31 Julai - Ibu bapa dan penjaga dinasihati agar jangan mengambil ringan jika anak mereka menunjukkan sebarang simptom jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1) sebaliknya mendapatkan rawatan segera.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pemeriksaan dan rawatan awal mungkin dapat menyelamatkan nyawa pelajar yang dijangkiti wabak tersebut.

''Saya ingin mengingatkan ibu bapa agar tidak mengambil mudah sekiranya anak mereka menunjukkan tanda-tanda jangkitan H1N1 walaupun ia seolah-olah nampak seperti demam biasa.

''Ini kerana, kes kematian keempat disebabkan H1N1 yang melibatkan remaja perempuan dari Melaka berusia 20 tahun itu adalah berpunca daripada kelewatan mendapatkan rawatan di hospital,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Peruntukan Bantuan Modal Kepada SJKC Ladang Hillside di sini hari ini.

Tegas beliau, oleh yang demikian, ibu bapa diminta lebih berwaspada dan peka terhadap tahap kesihatan anak-anak walaupun mereka hanya demam, batuk atau selesema.

''Kita nasihatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka ke pusat perubatan dengan kadar segera jika mereka dilihat mempunyai tanda-tanda awal jangkitan H1N1.

''Kelewatan mengesan serta mendapat rawatan boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas pelajar sehingga mampu menjuruskan kepada kematian,'' ujar beliau.

Ditanya adakah langkah penutupan sekolah ekoran ancaman H1N1 akan menjejaskan pembelajaran pelajar, Puad memberitahu, penutupan hanya dilakukan atas arahan Kementerian Kesihatan.

''Bagaimanapun, sekolah yang terlibat hanya akan ditutup selama seminggu dan ini dijangkakan tidak akan menjejaskan pelajaran, lagipun sekolah yang ditutup telah diarahkan menggantikan semula kelas sebaik sahaja sekolah dibuka semula,'' jelasnya.


No comments:

Post a Comment