Friday, August 7, 2009

Pendidikan awal elak jadi mat rempit


SAIRIN Karno melepaskan peserta Program Pendidikan Lalu Lintas Shell di pekarangan Dewan Masyarakat Keningau, Sabah, semalam.

KENINGAU 6 Ogos – Budaya sopan santun dan berhemah di jalan raya perlu dipupuk di kalangan generasi muda sebagai langkah pencegahan mengelak mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat seperti samseng jalanan atau mat rempit.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Sairin Karno berkata, golongan muda itu perlu dididik menjadi penguna jalan raya yang bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri sendiri.

“Ini adalah satu strategi langkah pencegahan awal. Nilai-nilai murni itu perlu dipupuk dalam apa juga keadaan termasuk ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi Program Pendidikan Lalu Lintas Shell Peringkat Daerah Keningau di perkarangan Dewan Masyarakat Keningau di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Keningau George Kandavu, Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Keningau, Sharulnizam Mohd. Yatim dan wakil Shell Frankie Chong.

Beliau berkata, meskipun masalah mat rempit tidak serius di negeri ini tetapi langkah awal adalah perlu sebelum menjadi tidak terkawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu bimbang jalan- jalan raya di daerah ini yang kini sedang dinaik taraf apabila siap akan dijadikan tempat merempit.

“Kita nasihatkan masyarakat di negeri ini agar menggunakan kemudahan jalan raya dengan sebaik-baiknya dan jangan salah guna atau melanggar peraturan jalan raya,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment