Monday, August 3, 2009

Tindakan tegas tandas sekolah kotor

KOTA BHARU 2 Ogos - Surat tunjuk sebab dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengetua atau guru besar yang didapati mengabaikan kebersihan tandas di sekolah masing-masing.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi untuk serta-merta memotong jumlah bayaran tender terhadap mana-mana kontraktor kebersihan bagi memastikan semua pihak peka mengenai tahap kebersihan di sekolah.

Bagaimanapun setakat ini, katanya, pemeriksaan yang dibuat di semua sekolah mendapati aspek kebersihan masih di tahap yang baik dan tindakan tegas itu adalah peringatan bagi memastikan keadaan itu berkekalan.

"Mulai minggu ini, kita telah mengadakan operasi gempur tandas di 570 sekolah menengah dan rendah seluruh Kelantan untuk mengesan tandas yang masih berada di tahap yang kurang memuaskan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Ghazali, operasi itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada pengetua dan guru besar supaya tidak mengabaikan tanggungjawab di sekolah dari pelbagai sudut termasuk kebersihan persekitaran.

Katanya, pihaknya berharap dengan adanya operasi itu, semua tandas di semua sekolah di negeri ini berada di tahap yang amat memuaskan.

Beliau berkata, sehingga hari ini, terdapat 155 tandas di sekolah menengah dan 415 sekolah rendah di seluruh negeri ini.


No comments:

Post a Comment