Friday, August 7, 2009

'Kami mahu sekolah baru'


So'aib Ibrahim (dua dari kanan) bersama Dr. Haris Salleh (tiga dari kanan) meninjau tapak tanah yang sepatutnya telah didirikan bangunan tambahan SK Parit Keroma Darat, Muar, Johor, semalam.


MUAR 6 Ogos - Penantian lama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Keroma Darat, di sini untuk mendapatkan bangunan baru bagaikan tiada kesudahan dengan projek pembinaan itu tertangguh dari tahun ke tahun.

Keadaan kini semakin mendesak apabila bangunan lama hanya mempunyai enam bilik kelas, sebuah bilik guru serta sebuah bilik komputer amat memerlukan bangunan baru untuk menempatkan bengkel kemahiran hidup, dewan serta bilik mesyuarat.

Disebabkan kemudahan prasarana yang tidak lengkap itu, murid-murid sekolah berkenaan terpaksa mengikuti kelas kemahiran hidup di bahagian luar kelas dan guru-guru terpaksa 'berhimpit' kerana bilik guru yang sempit.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, So'aib Ibrahim berkata, pihaknya telah mendapat kawasan tanah bagi bangunan baru itu sejak empat tahun lalu, namun sehingga kini tiada projek pembinaan yang dijalankan.

"Kami difahamkan urusan tender pembinaan bangunan baru itu telah diserahkan Kementerian Pelajaran kepada Jabatan Kerja Raya pada tahun lalu.

"Namun, disebabkan masalah kenaikan harga bahan tahun lalu, tiada kontraktor yang mahu mengambil projek itu dan sehingga kini projek ini seperti tergantung saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

So'aib berharap masalah ketiadaan bangunan tambahan itu dipandang serius oleh pihak yang berwajib kerana ia melibatkan kepentingan pengajaran dan pembelajaran seramai 261 murid di sekolah tersebut.

"Bagi pihak ibu bapa, kami amat berharap anak-anak dapat belajar dalam suasana yang selesa supaya pelajaran mereka tidak terganggu," katanya.

Menurutnya, PIBG sekolah telah mengajukan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh dalam membantu mengatasi masalah itu.

"Sekolah ini telah dibina sejak tahun 1950-an dan saya rasa memang sudah patut masanya untuk kita menaik taraf bangunannya," katanya.

Selain tiada bangunan tambahan serta padang permainan, bangunan sekolah sedia ada turut menjadi bilik darjah kepada sekolah agama rakyat di kawasan berkenaan.


No comments:

Post a Comment