Sunday, August 2, 2009

H1N1: 11 sekolah di Tawau, Kunak, Semporna ditutup

TAWAU 31 Julai - Sebanyak 11 sekolah di tiga daerah di Tawau, Kunak dan Semporna ditutup selama seminggu bermula semalam selepas beberapa pelajarnya disahkan positif selesema babi atau influenza A (H1N1).

Penutupan sekolah berkenaan menjadikan jumlah sekolah yang ditutup di negeri ini meningkat kepada 21 buah hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Marzukhi Md. Isa berkata, sekolah berkenaan ditutup bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

''Sekolah-sekolah di Tawau yang diarah tutup terdiri daripada sembilan buah sekolah iaitu Sekolah Menengah (SM) Tinggi Cina, SM Teknik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka, SMK Jambatan Putih, SMK Kuhara, SMK Pasir Putih, SM St. Patrick, Sekolah Islamiah Tawau dan SMK Merotai.

''Dua sekolah lagi masing-masing terletak di Semporna dan Kunak iaitu SMK Datuk Panglima Abdullah 1 Semporna dan SK Kg. Selamat Kunak,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, ada antara para pelajar terbabit kini dirawat di hospital-hospital daerah selain dikuarantin di rumah masing-masing.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan perkembangan terbaru itu sebaliknya mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala penyakit itu.

Selain itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan serta menggunakan penutup hidup dan mulut dengan betul bagi mengelakkan jangkitan.


No comments:

Post a Comment