Wednesday, August 5, 2009

Kesatuan Guru-Guru Sabah bimbang penularan H1N1 sekolah pedalaman

4th August, 2009

SANDAKAN: Kesatuan Guru-Guru Sabah memandang serius kes penularan wabak H1N1 di kawasan sekolah di pedalaman negeri ini yang dikategorikan kurang berisiko dijangkiti berikutan kedudukanya jauh dari bandar.

Sehubungan itu, Presidennya, Suhaimi Haji Othman meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri mengambil langkah-langkah proaktif dan tidak tertumpu kepada sekolah yang telah dijangkiti sahaja.

“Seboleh-bolehnya pantau sekolah berasrama yang belum dikesan dijangkiti dengan memberi segala keperluan dan langkah mengawal jangkitan. Jabatan Kesihatan juga hendaklah membantu guru-guru kesihatan di sekolah seterusnya memantau secara rapi ke atas sekolah-sekolah berasrama di pendalaman sebelum dikesan dijangkiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Suhaimi berkata jabatan juga perlu perhebatkan langkah-langkah pencegahan dengan mengedarkan lebih banyak risalah-risalah berkaitan H1N1 di setiap sekolah dan sekitar penempatan di pedalaman.

Katanya, begitu juga pihak hospital perlu membuka kaunter khas H1N1 khas untuk guru-guru dan ibu bapa di kawasan terbabit.

Berdasarkan aduan daripada guru-guru yang mendapatkan khidmat pemeriksaan terpaksa menunggu lama, Suhaimi berharap supaya setiap sekolah yang belum dijangkiti mendapat perhatian dengan langkah-langkah awal pencegahan wabak berkenaan.

Sehubungan itu, pihak kesatuan mahu setiap sekolah di bandar dan luar bandar mendapat perhatian serius dalam usaha mengawal dan mencegah jangkitan wabak yang semakin menular di serata daerah ini.

Dalam pada itu, juga beliau meminta Jabatan Pelajaran Negeri dapat mengurangkan pergerakan murid-murid dan guru-guru menyertai program atau aktiviti yang kurang penting terutama menggunakan laluan udara yang menjadi laluan persinggahan dalam negeri dan luar negeri.

Ini katanya, bagi mengelakkan lebih banyak jangkitan dibawa masuk ke kawasan daerah yang masih selamat dari jangkitan wabak H1N1.


No comments:

Post a Comment