Monday, August 3, 2009

Pelajar tetak askar

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana menegur seorang pelajar berusia 15 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya, seorang anggota askar wataniah berusia 22 tahun luka di kepala selepas ditetak dengan golok oleh pelajar itu di Kampung Limbongan, Besut, malam Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata akibat tetakan itu, mangsa mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter di kepala dan kini mendapat rawatan di Hospital Besut.

Beliau berkata, selepas menegur suspek menunggang motosikal secara berbahaya, mangsa kemudian ke sebuah kedai komputer di kampung itu, kira-kira jam 8.30 malam.

Manoharan berkata, kira-kira 15 minit kemudian, suspek bersama rakan datang ke kedai komputer berkenaan dan memaksa mangsa keluar kerana tidak puas hati ditegur.

Katanya, sebaik mangsa keluar dari kedai berkenaan, suspek bersenjatakan sebilah golok terus menetak kepala mangsa sebelum melarikan diri.

No comments:

Post a Comment