Wednesday, August 5, 2009

Pungutan suara kekal BI dilarang

MELAKA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) semua sekolah di negeri ini diingatkan supaya tidak terbabit mengedarkan borang pungutan suara dalam usaha mengajak ibu bapa untuk setuju mengekalkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakob Md Amin, berkata biarpun kerajaan sudah memutuskan subjek berkenaan perlu diajar dalam Bahasa Malaysia pada 2012, tetapi masih terdapat segelintir pihak di beberapa sekolah didapati cuba menyebarkan borang berkenaan kepada ibu bapa.

"Saya berharap ia dihentikan kerana usaha itu dipandang berat dan langkah itu jelas tidak wajar kerana ia seolah-olah mengajak ibu bapa menentang arahan dan keputusan kerajaan.

"Kita memang menyedari ada beberapa sekolah di negeri ini khususnya di Bandaraya Melaka Bersejarah yang cuba mengedarkan borang berkenaan kepada ibu bapa, tetapi ia berjaya dihalang dan tidak membabitkan PIBG.

"Jabatan Pelajaran Negeri juga sudah diarah memantau situasi itu tetapi daripada laporan yang diserahkan kepada saya, ia tidak membabitkan PIBG, cuma peringkat perbincangan dengan ibu bapa pelajar saja,'' katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Yaakob berkata, adalah lebih baik guru dan PIBG mematuhi arahan dipersetujui Kabinet itu dan menumpukan tenaga kepada meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar menggunakan kaedah ditetapkan tanpa mempertikaikan arahan kerajaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama sekolah atau individu atau pegawai PIBG yang terbabit dalam pengedaran borang pungutan suara itu.

Difahamkan borang pungutan suara itu cuba diedarkan kepada ibu bapa pelajar sejak dua minggu lalu dalam usaha pihak tertentu membantah penggunaan Bahasa Malaysia dalam pengajaran sains dan matematik.

No comments:

Post a Comment