Thursday, August 6, 2009

Calon SPM perlu buat persediaan mental, fizikal

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

SELAIN mengulang kaji, pelajar juga perlu menunjukkan komitmen tinggi serta membuat persediaan mental dan fizikal sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kata Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, Abdul Wahab Sepawi.

Selain itu, katanya, calon peperiksaan berkenaan juga perlu berusaha dan memperlihatkan hasil daripada pelbagai kemudahan disediakan untuk membantu mereka berjaya dalam pelajaran.

“Contohnya, jangan anggap seminar peperiksaan yang dianjurkan ini dengan mudah memberi kejayaan, sebaliknya pelajar perlu memanfaatkannya bagi mendapatkan hasilnya.

“Pelajar perlu berusaha gigih bagi memperlihatkan hasil daripada pelbagai kemudahan yang disediakan untuk mereka.

“Sehubungan itu, segala tunjuk ajar penceramah hendaklah dimanfaatkan kerana program ini peluang keemasan pelajar meningkatkan penguasaan kemahiran,” katanya pada majlis perasmian Seminar Skor A SPM anjuran Yayasan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) di Mukah, Sarawak, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengurus Bank Rakyat Wilayah Sarawak, Sheikh Yahaya Ahmad.

Hadir sama Pengurus Operasi Yayasan Bank Rakyat, Rapidah Yaakob; Pegawai Pelajaran Daerah Dalat, Anthony Pun dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Mukah, Ithnen Yaman.

Seramai 257 pelajar di kalangan anak anggota Bank Rakyat dan ahli koperasi sekolah sekitar Mukah, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, SMK St Paterick, SMK Mukah, SMK Dalat, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro dan SMK Agama Igan menyertai seminar itu.

Abduil Wahab juga berharap usaha murni Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian itu terus diteruskan di daerah itu bagi peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah pula pada masa depan.

Sementara itu, Sheikh Yahya menjelaskan Bank Rakyat menawarkan pelbagai kemudahan untuk pelajar termasuk membuka Akaun Simpanan i-Syabab (Remaja berumur 15) dengan simpanan minimum RM10.

“Selain menabung, pemegang akaun turut mendapat manfaat Perlindungan Takaful percuma dan ganjaran kecemerlangan akademik. Selain itu, Pembiayaan Pendidikan Al-Falah untuk pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran tinggi,” katanya.





No comments:

Post a Comment